KLUANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap kematian pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Pakistan dapat membawa dunia ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.
Namun, beliau memberi amaran bahawa perjuangan kumpulan yang terbabit di dalam beberapa serangan pengganas di seluruh dunia itu tidak berkisar kepada seorang individu sahaja. “Saya harap ia (kematian Osama bin Laden) menjurus kepada keselamatan dan keamanan sejagat yang juga tanggungjawab bersama,” katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan Umno Bahagian Semberong yang dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Hishammuddin, yang juga Naib Presiden dan Ketua Umno Bahagian Semberong, berkata, adalah amat penting bagi semua pihak memahami punca yang menyebabkan kelahiran gerakan militan.
Pemimpin Al-Qaeda kelahiran Arab Saudi yang hidup dalam persembunyian itu dilaporkan terbunuh di dalam satu operasi khas tentera Amerika Syarikat di sebuah rumah di bandar Abbotabad, berdekatan Islamabad.
Turut dilaporkan terbunuh dalam serangan itu termasuklah seorang anak Osama dan beberapa yang lain.
Hishammuddin berkata, Polis Diraja Malaysia menerusi pelbagai unit khas pasukan itu sentiasa bekerja keras bagi memastikan rakyat negara ini bebas daripada segala ancaman kumpulan pengganas.
“Tidak ramai yang tahu di dalam tugas dilakukan polis yang bekerja keras bagi memastikan keselamatan rakyat negara ini dan memastikan mereka dapat tidur lena pada waktu malam,” katanya.
Baru-baru ini, kata Hishammuddin, Malaysia menandatangani perjanjian keselamatan dengan Arab Saudi dan sebelum itu perjanjian seumpamanya dengan Australia meliputi isu keganasan, imigresen dan isu penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang.
Beliau berkata, Malaysia juga menandatangani perjanjian keselamatan dengan United Kingdom ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat negara itu tidak lama lagi. Malaysia dan Turki, katanya sedang berunding bagi mengeratkan kerjasama keselamatan. - Bernama
No comments:
Post a Comment